Program MPV adalah singkatan nama kepada 22 mata pelajaran elektif bercorak kemahiran vokasional di Tingkatan 4 dan 5 yang mula ditawarkan secara berperingkat-peringkat di sekolah menengah akademik harian mulai tahun 2002. Ia adalah peluasan kepada mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di tingkatan 1 hingga 3 di sekolah menengah rendah. Kurikulum MPV digubal dan ditokok tambah dengan kemahiran-kemahiran yang menjurus kepada bidang yang boleh memberi peluang kepada pelajar untuk menceburi alam pekerjaan selepas tamat persekolahan.

Pelancaran Mata Pelajaran Vokasional di Sekolah Menengah Akademik (MPV) pada tahun 2002 di sekolah-sekolah akademik menengah atas merupakan satu inovasi besar Kementerian Pendidikan Malaysia. Sebelum mata pelajaran bercorak vokasional ditawarkan kepada pelajar di sekolah menegah akademik, mereka terpaksa memohon di SMT/V yang tempatnya agak terhad. Kadar penyertaan pelajar di SMT/V ialah tujuh peratus daripada jumlah enrolmen kohort Tingkatan 4, iaitu satu angka yang rendah berbanding kadar penglibatan murid di negara-negara maju seperti Jerman, Perancis dan Itali meliputi penyertaan melebihi 60 peratus (Ahmad Sipon, 2001). Bagaimanapun Akta Pendidikan 1996 dalam Bab 7, Seksyen 36 dengan jelas meletakkan pendidikan vokasional termasuk di bawah pendidikan teknik, dan pendidikan teknik merangkumi;

(a) Latihan kemahiran

(b) Latihan khusus yang berhubungan dengan pekerjaan tertentu

(c) Latihan bagi meningkatkan kemahiran yang sedia ada, dan

(d) Apa-apa latihan teknik atau vokasional yang diluluskan

Menteri Pendidikan juga mempunyai kuasa untuk mengadakan sebarang bentuk latihan vokasional di sekolah menengah akademik. Initiatif ini juga dilihat dapat menyumbang dan meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti penglibatan pelajar dalam kerjaya bidang vokasional dan teknikal yang sangat diperlukan negara. Sasaran 33% oleh Kementerian Pendidikan supaya daripada kohort tingkatan 4 dan tingkatan 5 di sekolah menengah akademik dan SMT/V dapat mengambil mata pelajaran teknik dan vokasional menjelang tahun 2010.

Matlamat MPV

Matlamat mata pelajaran vokasional ini ialah untuk melahirkan pelajar yang berkemahiran dalam bidang kemahiran yang releven dan bermakna untuk membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan, memulakan perniagaan atau meneruskan latihan diperingkat yang lebih tinggi.

Program MPV

Program MPV ditawarkan secara berperingkat sehingga 22 mata pelajaran kemahiran dalam lima bidang usaha dilaksanakan berperingkat selama empat fasa mulai tahun 2002 hingga tahun 2005.

Pelaksanaan Program

Pemilihan sekolah untuk melaksanakan MPV  dilakukan oleh satu JK yang terdiri dari  KPM dan JPN berasaskan kepada kriteria yang telah ditetapkan iaitu:

a.   Sekolah mempunyai bilik yang boleh diubah suai /kawasan untuk bina baru.

b.   Sekolah mempunyai murid yang berminat dalam dalam bidang MPV.

c.   Pemilihan murid MPV dilakukan oleh sekolah melalui temuduga/ujian minat atau kaedah lain. Setiap kelas MPV hanya 20-25 murid sahaja.

d.   Guru yang berkelayakan untuk mengajar MPV akan ditempatkan di sekolah yang  diluluskan oleh pihak KPM.

  • MPV diperuntukkan 12 waktu seminggu kecuali mata pelajaran Produksi Multimedia dan Grafik Berkomputer yang dikendalikan dalam masa 8 waktu seminggu.
  • Modul P&P untuk murid dan guru akan dibekalkan ke sekolah.
  • P&P dilaksanakan berasaskan modul yang menitik beratkan hands-on dan minds-on serta kompetensi. Murid berpeluang untuk menambah baik pencapaian untuk setiap aktiviti yang ditetapkan. Pembelajaran melibatkan aktiviti amali sepenuhnya.
  • Pentaksiran dilaksanakan semasa P&P dengan asas Pentaksiran Kompetensi Pensijilan Modular. Murid akan menerima dua sijil iaitu sijil SPM dan sijil MPV untuk kompetensi.
Print Friendly, PDF & Email

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *