Aspek pendawaian elektrik merupakan perkara utama dalam pemasangan penyaman udara tetapi sering di abaikan atau diambil mudah menyebabkan kemungkinan berlaku risiko tidak diingini. Antaranya wayar menjadi panas, peralatan tidak mendapat cukup arus elektrik untuk beroperasi, plug atau soket terbakar malah ada berlaku penyaman udara juga terbakar. Perkara – pekara seperti ini haruslah di fahami dengan jelas kerana ia melibatkan keselamatan nyawa. Ia bermula dari pemilihan peralatan, jenis wayar dan kaedah pemasangan pendawaian. Catatan ini cuba menjawab persoalan yang sering ditanya berkaitan pendawaian dengan merujuk kepada panduan daripada pihak berkuasa.
Penyaman udara menggunakan motor elektrik untuk menggerakkan pemampat. Bagi unit 1HP ia memerlukan 870 Watt untuk menghidupkan pemampat . Semakin tinggi HP semakin tinggi kuasa yang diperlukan untuk menghidupkan pemampat. Oleh itu arus yang diperlukan juga akan semakin tinggi. Atas faktor inilah pemilihan saiz dan wayar yang betul, saiz MCB , jenis soket dan jenis plug memaikan peranan yang penting.
Berikut adalah aspek pendawaian yang perlu dipertimbangkan dan digunapakai semasa pemasangan unit penyaman udara:
1. Jenis Wayar.
Terdapat pelbagai jenis wayar di pasaran dengan pelbagai jenama, kualiti dan harga. Oleh itu pastikan wayar yang digunakan adalah 100% kuprum tulen dan disahkan SIRIM. Ada wayar yang telah dicampur dengan aluminium. Ia sangat bahaya. Bagaimana mengenali ketulenan wayar? Keratan rentas di bawah menunjukkan wayar tulen dan wayar tidak tulen (bercampur aluminium). Wayar yang tidak tulen (bercampur aluminium) boleh diuji dengan menyalakan api menggunakan pemetik api. Wayar tersebut akan terbakar menunjukkan ia telah bercampur aluminium dan amat merbahaya.
2. Saiz Wayar.
Pemilihan saiz wayar bergantung kepada HP penyaman udara. Jadual di bawah menunjukkan saiz wayar mengikut HP. Bagi saiz 1HP – 2.5HP saiz wayar ialah 2.5mm² manakala 3HP ke atas saiz wayar adalah 4mm².
Bagaimanapun dalam Garis Panduan Pendawaian Elektrik Di Bangunan Kediaman, Suruhanjaya Tenaga 2008 saiz wayar minima yang di cadangkan untuk litar penyaman udara ialah 4mm².
3. Pemilihan soket dan plug.
Merujuk kepada Garis Panduan Pendawaian Elektrik Di Bangunan Kediaman, Suruhanjaya Tenaga 2008 ada dinyatakan penggunaan soket alir keluar 15A untuk motor elektrik melebihi 373Watt. Oleh itu untuk penggunaan penyaman udara haruslah menggunakan soket dan plug 15A.
4. Saiz MCB
Saiz MCB juga memainkan peranan penting kerana ia dapat melindungi peralatan dan keselamatan dirumah. Setiap MCB mempunyai nilai arus berbeza seperti 6A, 10A, 16A, 20A, dan seterusnya. Apabila berlaku lebihan arus, MCB secara automatik akan memutuskan litar ke beban akhir. Saiz MCB mengikut HP ditunjukkan dalam Rajah 7 iaitu 1HP – 1.5HP menggunakan MCB 16A, 2HP – 2.5HP menggunakan MCB 20A dan 3HP menggunakan MCB 30A.
Namun begitu jika dirujuk pada Rajah 9, nilai MCB minima untuk litar penyaman udara ialah 20A.
5. Pendawaian dari Papan Agihan (DB).
Bagaimana pendawaian bekalan kuasa ke unit penyaman udara. Setiap unit penyaman udara hendaklah menggunakan 1 MCB yang sesuai dengan HP tanpa berkongsi dengan peralatan elektrik lain. Penyataan ini dinyatakan dalam Rajah 10. Contoh litar pendawaian penyambungan bekalan kuasa ke unit penyaman udara dari Papan Agihan (DB) ditunjukkan dalam Rajah 13. Jika rumah baru yang telah tersedia soket 15A, maka bolehlah digunakan terus untuk bekalan kuasa ke unit penyaman udara. Jika tiada maka pendawaian baru hendaklah dibuat dari Papan Agihan (DB).
6. Penyambungan Wayar.
Penyambungan wayar menggunakan connector adalah tidak selamat kerana sambungan wayar boleh menjadi longgar dan panas. Ini boleh menghasilkan percikan api yang menyebabkan kebakaran. Oleh itu elakkan menggunakan connector. Langkah yang sebaiknya ialah pendawaian terus di sambung ke soket 15A atau jika kedudukan soket jauh maka haruslah menggunakan wayar baru dari terminal indoor ke soket.
Penyambungan wayar menggunakan wiring tape juga tidak selamat kerana wayar akan dipintal dan dibalut dengan wiring tape. Kaedah ini boleh menyebabkan arus tinggi di bahagian pintalan dan wayar menjadi panas. Ini boleh menghasilkan percikan api yang menyebabkan kebakaran.
Demikianlah serba sedikit catatan kali ini berkaitan Aspek Pendawaian Elektrik Semasa Pemasangan Penyaman Udara yang perlu diberi perhatian oleh juruteknik. Anda sebagai pengguna pula boleh jadikan panduan untuk keselamatan di rumah. Jika tidak mengikut spesifikasi yang dinyatakan, anda bolehlah menghubungi juruelektrik bertauliah untuk membuat pemeriksaan.
Rujukan:
- Acson Wall Mounted S-Series Catalogue.
- Non – Ducted Residential and Light Commercial Air-Conditioning Units CIDB MACRA.
- Panduan Kerja Selamat Bagi Kerja – Kerja Elektrik, Suruhanjaya Tenaga 2013.
- Garis Panduan Pendawaian Elektrik Di Bangunan Kediaman, Suruhanjaya Tenaga 2008.
- Product Training By Panasonic (M) Sdn Bhd.
- Goggle Image