Bil Elektrik Meningkat Pada Musim Panas?

Pada musim panas ini, berbagai kaedah digunakan oleh pengguna untuk mengurangkan bil elektrik. Kadang – kadang ada yang pelik juga tetapi akhirnya pembaca menjadi yakin kerana disertakan dengan testimonial perbandingan bil dari bulan ke bulan. Asasnya jika penggunaan peralatan eletrik bertambah maka bil elektrik pasti bertambah, tak kiralah musim apa. Itu yang pasti. Kerana dalam mengira bil elektrik ini jumlah jam sesuatu peralatan elektrik itu digunakan akan mempengaruhi bil elektrik anda.

Sumber haba dari sinaran matahari dan permukaan tanah.
Peratus haba yang masuk ke dalam rumah.

Rajah di atas menunjukkan sumber haba yang masuk ke dalam sebuah rumah. Haba akan bertambah pada musim panas. Dalam catatan ini, saya akan huraikan bagaimana dan kaitan musim panas ini menyebakan bil meningkat di sebabkan penggunaan penyaman udara. Jika satu unit mungkin tak nampak sangat tapi bila tiga atau empat unit digunakan serentak, memang ketara kesan pada bil. Persoalannya benarkah pada musim panas ini bil akan meningkat? Bagaimana ia memberi kesan pada bil elektrik? Ada yang kata jumlah jam digunakan sama saja seperti bulan – bulan lepas tetapi bil meningkat pula. Untuk menjawab persoalan ini mari kita fahamkan 3 point di bawah.

1. Tetapan suhu pada alat kawalan jauh.

Berapakah suhu yang anda tetapkan pada alat kawalan jauh. Pada cuaca biasa atau hari kurang panas, suhu bilik adalah 27ºC. Pada waktu ini tetapan suhu 24ºC – 26ºC sudah cukup memberi keselesaan kepada anda. Berbanding pada cuaca panas di mana sumber haba yang masuk ke bilik akan bertambah maka suhu bilik turut bertambah. Pada masa ini, anda memerlukan suhu lebih rendah iaitu 20ºC – 23ºC dan mungkin rendah lagi untuk mendapatkan keselesaan bergantung pada comfort level setiap individu. Perbezaan tetapan suhu ini telah memberi kesan kepada operasi kitaran pemampat. Pada suhu bilik yang tinggi dan tetapan suhu lebih rendah, operasi kitaran pemampat akan lebih lama untuk mendapat suhu yang anda tetapkan.

Suhu ideal unit penyaman udara semasa cuaca biasa atau kurang panas.

2. Kitaran pemampat.

Pemampat mempunyai kitaran ON dan OFF nya yang tersendiri. Kitaran pemampat berkait rapat dengan tetapan suhu dan suhu persekitaran (point no 3). Lihat perbandingan operasi pemampat dalam rajah di bawah:

Kitaran pemampat pada cuaca panas dan cuaca normal.

Dalam tempoh penggunaan yang sama tetapi kitaran (ON dan OFF) pemampat adalah berbeza. Semasa cuaca panas, pemampat beroperasi (ON) lebih banyak iaitu 8 kali berbanding cuaca biasa sebanyak 4 kali sahaja. Dalam ertikata lain pemampat beroperasi lebih lama untuk mencapai suhu yang anda tetapkan. Pada cuaca biasa atau kurang panas, kitaran pemampat lebih sedikit (ON) dan kitaran dalam keadaan (OFF) lebih lama kerana suhu yang ditetapkan dapat dikekalkan lebih lama.

3. Suhu persekitaran.

Suhu persekitaran atau ambient temperature pada musim panas boleh mencecah 41ºC di Malaysia pada ketika ini. Bagaimana suhu persekitaran ini memberi kesan kepada peningkatan bil. Mari kita lihat graf di bawah:

Graf suhu persekitaran vs Ampere.

Pada cuaca biasa atau hari kurang panas, suhu persekitaran ialah 35ºC. Pada masa ini pemampat menggunakan arus elektrik sebanyak 4.00 Ampere. Berbanding pada cuaca panas, katakanlah suhu persekitaran 40ºC arus elektrik ialah 4.23A. Sudah tentu perbezaan arus elektrik ini memberi kesan pada bil bulanan anda. Kesimpulannya apabila suhu persekitaran meningkat arus turut meningkat untuk mengekalkan suhu yang anda tetapkan.

Dari sudut yang lain, rumus elektrik dalam Hukum Joule’s ini memberi gambaran kepada graf di atas. Jelas haba dapat mengubah jumlah arus.

Hukum Joule’s dimana jumlah haba dipengaruhi oleh arus elektrik, apabila rintangan dan bekalan semasa adalah tetap.

3 point di atas yang saling berkait telah memberi kesan kepada jumlah arus elekrik yang digunakan untuk menggerakkan operasi penyaman udara khususnya pemampat. Jadi tidak hairanlah bil anda akan meningkat pada musim panas demi untuk mendapat keselesaan.  Jika musim hujan ataupun anda berada di Tanah Tinggi Cameron di mana suhu persekitaran boleh mencapai  18ºC (mungkin lebih rendah lagi) maka arus elektrik juga rendah, kitaran pemampat lebih sedikit kerana tetapan suhu mudah dicapai. Akhirnya bil elektrik juga akan lebih rendah.

Diharap catatan ini dapat membantu anda memahami bagaimana bil elektrik boleh meningkat pada musim panas. Sebenarnya banyak tip dan panduan untuk mengatasi masalah diatas. Sememangnya kesan pemanasan global, kemarau, jerebu dan fenomena El Nino adalah diluar jangkaan dan harus ditempuhi tetapi anda sebagai pengguna boleh menggunakan secara bijak alat penyaman udara. Ia akan saya huraikan dalam catatan akan datang.

Rujukan:

  • https://www.sa.gov.au/
  • https://www.urbanindo.com
  • Service Manual Panasonic
  • https://www.accuweather.com
  • https://www.bijlibachao.com
  • https://byjus.com/physics/joules-law/
  • https://www.facebook.com/fazlee.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *