Perbandingan Bahan Pendingin R-410A, R-22, R-32, R-290, R-134A dan R-600A.

Bahan pendingin atau refrigerant yang dinyatakan di atas banyak digunakan dalam sistem penyaman udara rumah, peti sejuk dan kenderaan. Pada 1990-an masyarakat dunia mula sedar tentang chlorofluorocarbons atau CFC dan kesannya kepada penipisan lapisan ozon. Maka bahan pendingin baru mula diperkenalkan secara berperingkat dengan mengambil kira 2 faktor utama iaitu  Ozone Depletion Potential (ODP) dan Global Warming Potential (GWP) bahan pendingin tersebut. Bahan pendingin dikategorikan kepada 4 kategori UTAMA iaitu CFC, HCFC, HFC dan HC. Semua unsur ini memberi kesan ODP dan GWP yang berbeza.

Kategori utama bahan pendingin dan unsur yang terkandung.

Apakah bahan pendingin?

Bahan pendingin atau dikenali juga sebagai refrigerant digunakan dalam sistem penyejukan dan penyamanan udara sebagai penyerap haba di dalam penyejat dan menyingkirkan haba tersebut di dalam pemeluwap. Di dalam penyejat, bahan pendingin bertukar bentuk daripada cecair sejuk kepada gas sejuk dalam keadaan tekanan rendah semasa proses penyejatan. Di dalam pemeluwap pula, setelah haba disingkirkan, bahan pendingin akan bertukar bentuk daripada gas panas kepada cecair panas dalam keadaan tekanan tinggi semasa proses pemeluwapan. Rujuk nota lepas saya berkaitan bahan pendingin di ruangan ini.

Dalam catatan ini, saya akan membuat perbandingan bahan pendingin dalam tajuk di atas dan kenapa bahan pendingin kategori hidrokarbon di perkenalkan.

No bahan pendingin dan formula kimia.

Ozone Depletion Potential (ODP).

Ozone Depletion Potential atau potensi penipisan ozon adalah ukuran  kemampuan CFCs dan HCFCs memusnahkan lapisan ozon. Bahan pendingin kategori CFC mempunyai nilai ODP tertinggi dan tidak digunakan lagi.

Jadual kandungan ODP mengikut kategori bahan pendingin.

Global Warming Potential (GWP).

Global Warming Potential atau potensi pemanasan global adalah ukuran relatif gas rumah hijau memerangkap haba. Kumpulan gas rumah hijau iaitu karbon diokasida, karbon monoksida, chlorofluorocarbons atau CFC, metana dan nitrogen oksida boleh menghalang dan memerangkap haba bumi daripada terbebas keluar ke angkasa. Gas ini membenarkan sinaran matahari menembusinya tetapi menghalang pembebasan semula sinaran tersebut ke atmosfera. Kesannya suhu bumi akan meningkat secara global. Kesan UTAMA dari pemanasan global ini ialah berlakunya perubahan iklim (climate change). Suhu bumi telah meningkat dua darjah dan kadarnya berbeza mengikut benua dan kawasan tertentu.

Nilai GWP setiap bahan pendingin.

Bahan pendingin lama, masa kini dan akan datang.

Bahan pendingin yang biasa digunakan sebelum ini ialah CFC, yang biasa dipanggil Freon. Freon adalah jenama untuk bahan pendingin “R-12” oleh DuPont. Pada tahun 1990-an dan 2000-an, CFC digantikan dengan HCFC (hydrochlorofluorocarbon) dan HCFC yang paling biasa ialah “R-22”. Bagaimanapun, HCFCs hanya sedikit lebih baik daripada CFC kerana ia mengandungi klorin, yang berbahaya bagi alam sekitar. Untuk menghilangkan klorin dari bahan pendingin, pengeluar mencipta satu lagi bahan pendingin yang dipanggil HFCs (atau Hydro Fluro Carbons). Walaupun berpotensi kepada pemanasan global, tetapi ia lebih baik daripada HCFC kerana tidak memberi kesan kepada lapisan ozon. HFC yang paling biasa digunakan sebagai bahan pendingin dalam penyaman udara ialah R-410A. Bahan pendingin ini lebih baik daripada R-22 dari segi ODP dan kecekapan tenaga, tetapi ia masih menyebabkan kesan pemanasan global. Beberapa lagi HFCs yang biasa digunakan dalam penyaman udara ialah R-32 dan R-134A dalam peti sejuk. R-32 adalah lebih baik daripada R-410A dari segi GWP, tetapi ia masih merupakan HFCs.

Bahan pendingin masa kini pada unit penyaman udara rumah yang menggunakan R-410A dan R-32.

Bermula 2016 bahan pendingin jenis R22 telah dihentikan pengeluarannya dan tidak dihasilkan lagi oleh kilang pengeluar utama seperti York, Daikin, Panasonic, dan lain – lain. Semua unit penyaman udara menggunakan bahan pendingin R-410A samaada model inverter atau non inverter. Antara sebabnya adalah bahan pendingin tersebut (R22) masih menyumbang kepada penipisan lapisan ozon. Selain itu, ianya juga kurang kemampuan untuk menyerap dan membebaskan haba berbanding bahan pendingin R-410A.

Bahan pendingin yang terkini dan paling mesra alam yang terdapat di pasaran ialah “R-290” dan “R-600A”. Ia adalah dari kumpulan HC atau Hidrokarbon, dan nama kimia mereka adalah “Propane” untuk R-290 dan “Iso-Butane” untuk R-600A. (Rujuk rajah kedua di atas). Bahan pendingin ini benar-benar bebas halogen, tidak mempunyai potensi penipisan ozon dan paling rendah dari segi potensi pemanasan global. Ia juga mempunyai kecekapan tenaga lebih tinggi tetapi mudah terbakar kerana dalam kumpulan hidrokarbon.

Perbandingan ODP & GWP Bahan Pendingin R-410A, R-22, R-32, R-290, R-134A dan R-600A.

Sumber

Kesimpulannya, jika faktor kecekapan tenaga dan pemanasan global di ambil kira, maka bahan pendingin R-290 adalah pilihan terbaik untuk penyaman udara dan R-600A untuk peti sejuk. Malaysia mula memperkenalkan satu standard iaitu MS 2678:2017 FLAMMABLE REFRIGERANT SYSTEM-CODE OF PRACTICE untuk penggunaan bahan pendingin ini memandangkan ia dalam kategori bahan mudah terbakar. Untuk pengetahuan pembaca Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) ada menganjurkan seminar berkaitan penggunaan gas ini yang bertujuan:

  • Memberikan pengetahuan tentang keperluan semasa refrigeran mudah bakar di Malaysia. 
  • Mengaplikasikan Piawaian Malaysia, MS 2678:2017 dalam amalan sebenar penggunaan refrigeran mudah bakar. 
  • Penyelarasan aktiviti penggunaan refrigeran mudah bakar mengikut Piawaian melalui penyertaan daripada sektor awam dan swasta.

Jika berminat boleh rujuk pada iklan di bawah atau muaturun risalah ini untuk mendapatkan borang penyertaan.

Muaturun risalah : Brochure flammable gas (cikgunas.net).

Seminar Flammable Refrigerant System.

Rujukan:

  • https://www.bijlibachao.com
  • http://www.linde-gas.com
  • The National CFC – Phase Out Plan RSS Operation Manual

Klik pada image untuk paparan lebih jelas

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Print Friendly, PDF & Email
Tagged with: , ,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*